Tuesday, 4 June 2013

10 Perangkap yang dilalui semasa ulangkaji Matematik Tambahan

Sebagai pelajar, ada beberapa perkara yang sering bermain di dalam minda tentang sesuatu subjek, terutamanya subjek matematik tambahan. Pastikan anda mengambil tindakan untuk setiap permainan minda tersebut.

1. "Saya tidak tahu di mana nak mula"

     Ini masalah biasa. Jangan cepat rasa gelabah. Biasalah kalau anda bingung dengan jumlah topik yang banyak. Matematik Tambahan mempunyai 21 topik utama, itu belum dikira subtopik-subtopiknya lagi. Mulakan dengan membuat senarai sukatan pelajaran sebagai senarai semak apa yang sudah atau belum diulangkaji.
Kalau dah sudah faham dan ulangkaji, tandakan  '/ ' menunjukkan anda sudah ulangkaji subtopik tersebut. Bila anda sedar yang banyak lagi topik belum study, tentu anda tidak akan buang masa kepada perkara-perkara lain. Checklist ini tak semestinya perlu bertaip, tulis saja dengan tangan, yang penting ada, supaya anda tahu apa yang sudah, dan apa yang belum diulangkaji.


2. "Banyaknya nak belajar...dan masanya pula sikit"

      Bijak bertindak. Bina jadual waktu supaya tidak terlepas mana2 subjek. Membina jadual waktu belajar akan membantu anda fokus kepada semua subjek tanpa ada pilih kasih.

3. "Subjek ini susah! dan saya tak faham langsung"

      Bersabarlah! Untuk memperoleh sesuatu ilmu sudah tentu tidak mudah. Tetapi percayalah, sebaik sahaja anda memperoleh sesuatu ilmu pengetahuan, ia akan memberi kepuasan dalam hidup anda. Anggapnya sebagai suatu cabaran. Berbincang dengan rakan-rakan lain untuk jawapan. Jika rakan tidak dapat menolong, usahakan untuk bertanya dengan guru bagi mendapatkan penjelasan. Jangan biarkan diri anda terus didalam kebuntuan.




4. "Saya baca. Saya faham tetapi saya tak boleh ingat langsung.."

     Subjek matematik tambahan bukan subjek yang cukup sekadar membaca contoh, atau nota didalam buku catatan. Ianya subjek yang memerlukan latih tubi sebagai pemantapan. Bila belajar, boleh rujuk buku untuk lihat kaedah macamana jawab, tapi untuk ia melekat di ingatan, anda kenalah tulis semula dan buat sendiri supaya lebih faham.

5. "Agak-agaknya saya dah faham..."

     Jangan terlalu yakin. Uji diri sendiri dengan berbincang mengenai topik tersebut. Boleh berbincang dengan rakan, dan memberikan jawapan yang betul barulah menunjukkan anda faham.Ramai diantara pelajar saya sering mengatakan, oh saya dah faham cikgu.. tapi kemudian bila ulang semula, rupanya masih tak dapat buat. Saya kurang pasti sama ada faham itu kerana memang faham, atau buat-buat faham..takut kena marah. Yang pasti, berpura-pura faham hanya akan merugikan diri anda sendiri.

6. "Banyaknya kena ingat!"

     Susun atur maklumat anda. Maklumat lebih mudah diingati jika dipersembahkan dalam bentuk rangka kerja tersusun, supaya apabila kamu merujuk semula bila-bila nanti, ia mudah untuk diulangkaji.
     Contohnya, nota bagi pembelajaran hari tersebut, gunakan pen biru. Kemudian apabila ada pengulangan nota dari bab sebelum ini, gunakan pen hitam. Pen merah untuk penegasan. Penggunaan warna yang berbeza, tetapi sistematik, akan memudahkan ulangkaji pada waktu lain nanti.

7. "Baru sebentar tadi saya ingat"

     Kaji semula. Selepas belajar satu bahagian, anda perlu kaji semula, dan amalkan output learning iaitu mengeluarkan kembali fakta yang dipelajari. Cari soalan yang mirip dengan bahagian tersebut dan cuba jawab.  Jika anda tidak boleh jawab, baca semula rujukan nota anda, dan cuba lagi. Lebih banyak anda mengambil masa untuk belajar, lebih banyak yang anda boleh ingat.

8. "Tapi saya suka belajar atas katil saya"

      Ini bukanlah tabiat yang baik. Ambil berat terhadap pelajaran ini. Belajar Matematik Tambahan tidak sama dengan mempelajari sejarah atau bahasa. Anda mesti belajar dengan kertas dan pen ditangan, catat dan menjawab soalan secara aktif. Anda tidak boleh belajar dengan serius jika berbaring, dikhuatiri lebih kepada ingin..tidur.

9. "Saya belajar lebih baik pada saat saat akhir"

     Ini tidak benar sama sekali. Ingatan bertambah bila belajar dalam tempoh yang panjang, dan bersedia dari awal.  Walaupun ada pelajar mendapati tekanan saat akhir akan membuatnya rasa lebih cergas, dan bertenaga untuk belajar, tapi anda juga mudah penat dan diserang gelabah terutama sekali bila anda dapati terlalu banyak yang mesti diulangkaji. Tidak ada gunanya menyesal pada malam sehari sebelum peperiksaan. Sebaiknya, belajar dari awal supaya tenang sehingga ke hari peperiksaan.

10. "Saya akan berjaga sepanjang malam sehingga saya habis belajar"

       Keadaan ini kurang produktif.  Perkara yang amat penting semasa peperiksaan adalah berfikiran cergas. Elakkan keletihan minda. Rehat sebentar berulang kali semasa ulangkaji akhir sebelum peperiksaan. Adalah amat penting anda menjaga diri anda sebelum peperiksaan. Makan dengan teratur, tidur yang cukup, dan berdoalah bersungguh-sungguh






Dipetik dan di edit daripada Buku "Bagaimana menjadi seorang pelajar yang baik & berjaya" oleh Prof. Dr Muhaya Mohamad.

No comments:

Post a Comment