Wednesday, 25 January 2012

Satu dan Pak Tua


Tersebutlah oleh ahli pujangga tentang kisah seorang ayah yang sedang nazak. Beliau mempunyai 3 orang anak lelaki. Pada saat-saat kematian semakin terasa hampir, beliau pun memanggil ketiga-tiga anaknya dan menyampaikan pesan.
“Apabila ayah sudah tiada nanti, kalian bertiga ambillah unta peliharaan kita itu sebagai harta pusaka. Yang sulung akan mendapat 1/2 bahagian daripada unta-unta tersebut. Yang tengah akan mendapat 1/4 daripada unta-unta tersebut, dan yang bongsu pula akan mendapat 1/5 daripada unta-unta tersebut.” Setelah si ayah berpesan sedemikian, maka si ayah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dan meninggal dunia.

Maka selepas selesai menguruskan upacara pengebumian, ketiga-tiga anak tadi pun duduk berkumpul dan berbincang tentang wasiat ayah mereka. Mereka menghadapi kesulitan dalam membahagikan unta peliharaan mengikut pesanan si ayah, kerana unta mereka ada 19 ekor. 

"Bagaimana hendak membahagikan unta sebanyak 19 ekor kepada 1/2 bahagian, 1/4 bahagian, dan 1/5 bahagian"? , persoalan ini sangat membelenggu fikiran mereka lantaran masing-masing yang tidak sudi mengalah. Akhirnya mereka sepakat membawa perkara ini ke pengetahuan ketua di dalam kampung tersebut. Malangnya, ketua kampung juga tidak dapat menyelesaikan masalah itu. Hampir kesemua orang kampung juga datang berkumpul untuk mengetahui cara menyelesaikan masalah tersebut, namun tiada seorang pun yang tahu caranya.

Dalam masing-masing kebingungan mencari jawapan, maka lalulah disitu seorang tua sambil menunggang untanya. Bertanyalah Pak Tua itu "Kenapa ramai-ramai orang berkumpul disini? Ada majlis keramaiankah?"


Dijawab oleh salah seorang yang hadir, "Kami semua sedang memikirkan tentang satu masalah yang penting".

Maka Pak Tua itu bertanya lagi, "Apakah masalah yang penting itu?"

"Begini," balas si anak sulung pemilik unta. "Kami tiga beradik baru sahaja kematian ayah yang kami kasihi. Beliau mewasiatkan kepada kami agar membahagikan unta-unta tinggalannya antara kami 3 beradik, saya mendapat 1/2 bahagian, adik kedua saya mendapat 1/4 bahagian dan yang bongsu mendapat 1/5 bahagian. Masalahnya, kami tidak dapat menunaikannya kerana unta kami ada 19 ekor," jelas si anak sulung.

"Oh, itu senang sahaja. Ambillah unta pakcik yang seekor ini. Pakcik hadiahkan kepada anak. Sekarang semua unta dah menjadi 20 ekor.Masalah anak akan dapat diselesaikan," kata Pak Tua.

Ketiga-tiga beradik tadi berasa gembira. 1/2 bahagian daripada 20 ekor, si abang sulung mendapat 10 ekor. Tanpa bercakap banyak, si abang terus mengheret kesemua 10 ekor untanya pergi dari situ. Anak yang tengah pula, 1/4 bahagian daripada 20 ekor terus mengambil 5 ekor unta dan mengheretnya pergi dari situ. Tinggallah si adik bongsu. Bahagiannya 1/5 mendapat 4 ekor unta. Sambil mengucapkan terima kasih, dia pun membawa 4 ekor untanya pergi dari situ. Tinggallah semua orang yang berkumpul disitu terpinga-pinga kehairanan.

"Eh, ada seekor unta lagi yang tertinggal ni," kata salah seorang yang hadir.

"Oh, tidak, itu unta saya", jawab Pak Tua sambil menunggang untanya semula, dan pergi dari situ.


Dan mengapa saya membuka cerita ini? Selain keunikan nombor pecahan matematik yang saling bantu membantu (hanya dengan memasukkan 1 ekor unta, masalah pun selesai), saya sangat tertarik dengan kehadiran satu didalam cerita tersebut. Satu ekor unta, dihadiahkan, tapi kemudian dapat dipulangkan semula tanpa kerugian pada mana-mana pihak.  Cerita di atas sebenarnya, telah lama diperturunkan dari generasi ke generasi. Apakah pengajaran dari cerita ini? Ada banyak pengajaran sebenarnya yang boleh kita fikirkan bersama. Dan salah satunya, adalah dalam konteks rezeki. apa sahaja masalah yang melanda pasti dapat diselesaikan jika kita sudi membawa masuk satu perkara dalam diri kita. Itulah iman. Iman itu sedikit pun tidak akan luak, atau terjejas walau apa pun badai yang melanda. Ia bahkan semakin menguatkan dan menjadi sumber ketenangan dan ketabahan ketika menghadapi apa jua musibah dalam kehidupan. 

 Dan dalam kehidupan sebagai seorang pelajar khususnya, sebagai manusia biasa yang tak lekang dari masalah dan kesilapan, selepas berusaha dan bekerja keras untuk kejayaan, masukkanlah satu perkara dalam kehidupan harian anda. Iaitu doa. Doa adalah senjata yang paling mustajab selepas usaha kerana dalam kehidupan ini, tiada siapa yang boleh melawan kuasaNYa. Jangan malu meminta dariNya. Mintalah apa yang kita nak minta padaNya, kerana kita tidak lari dari seorang insan kerdil yang tiada daya dan upaya selain dari dengan izinNya. Wallahualam.



No comments:

Post a Comment