Friday, 6 January 2012

Rephrase... Bina semula ayat

Rephrase.. perkataan ini saya dapat ketika saya menghadiri bengkel "lesson plan addmath' anjuran PPD Kuala Pilah pada awal November 2011. Sejak itu, perkataan ini sering bermain2 di fikiran kerana saya amat yakin, kebanyakan kelemahan saya dalam menyampaikan ilmu matematik(terutamanya matematik tambahan) banyak dipengaruhi oleh faktor ini. Apa maksud sebenarnya? apa yang saya nak kongsi disini, ialah bagaimana seseorang guru menunjuk ajar anak muridnya, tetapi dengan menggunakan gaya bahasa, atau ayat yang salah. Bukan bermakna guru itu salah ajar atau tak pandai cakap, tapi percakapannya yang tidak dapat difahami oleh pelajarnya. Jika ayat yang guru katakan itu tidak difahami oleh pelajar, guru cenderung untuk mengulangi ayat tersebut dengan nada yang lebih jelas, dan perkataan sebutir, sebutir...tapi masih tidak difahami oleh pelajar.

Sebenarnya, apa yang boleh guru lakukan, ialah berfikir sejenak, dan cuba lontarkan soalan dengan susunan ayat berbeza, tapi mempunyai maksud yang sama. Ok, ini situasi yang telah berlaku kepada saya hari ini.

Seorang pelajar yang agak lemah dalam matematiknya, bertanya kepada saya bagaimana mendapatkan jawapan untuk nilai y seperti soalan dibawah:


Mula-mula saya bertanya bagaimana mendapat nilai sudut NLM (dalam kes ini, pelajar itu baru saja belajar tentang konsep selangseli Z) maka dia dapat jawapannya ialah 40 darjah. 

     Kemudian saya bertanya, "berapa nilai sudut di MOL?", dia senyap. 

     Saya kata, "Satu garis lurus jumlah sudut ialah 180 darjah. Kalau sebelah dia tu 60 darjah, kenalah tolakkan, 180 tolak 60, dapatlah sudut sebelahnya". Dia senyap. 

     Saya tanya, "Berapa 180 tolak 60?" Dia diam mencongak.Lama baru dia jawab, "120". 

     "Ok, 120," saya kata. Saya tanya lagi, " Satu segitiga berapa jumlah darjah sudut didalamnya?"

     Dia jawab, "180". Saya balas, "Bagus. Kalau begitu, dua sisi kamu dah tau, boleh tak kita cari nilai sisi satu lagi?". Dia senyap. 

     "Eh budak ni, boleh ke tak boleh ni?, saya bertanya didalam hati. 

    Saya ulang pertanyaan, dengan lebih berhati2, perlahan, dan jelas. "Satu segitiga ada 3 sisi, jumlah seluruh sisi 180 darjah. Sisi ini dan ini(sambil menunjuk kepada rajah) kita dah tau jawapannya. Jadi boleh tak kita cari nilai sudut pada sisi y ni?".

      Mungkin kerana takut saya marah, dia jawab "Boleh".

      Saya kata, "ha, kalau boleh, berapa jawapannya?" . Senyap lagi.

Saya diam. Kepala ligat berfikir bagaimana menyusun ayat yang baru, supaya maksud yang ingin saya sampaikan, dapat sampai kepadanya. 

      "Sekarang kita ada satu segitiga. Jumlah sudut ini tambah ini dan tambah ini campurkan semuanya, jumlahnya 180 darjah. kalau sudut OLM ini 40 darjah, dan sudut MOL ini 120 darjah, berapa lagi yang kita perlukan untuk cukupkan jumlahnya 180? ", saya menyoal. Dia menjawab, " Kalau nak dapat 180, 40 campur 120 baru dapat 160. 160 kena tambah lagi 20 baru cukup 180, cikgu". Saya senyum. 

      "Ha, 20 lah jawapan bagi nilai y, kan dapat tu," balas saya.

      "Oh, kalau macam tu, yang tadi tu, yang cikgu dapat jawapan 120 tu(sambil jarinya menunjuk ke sudut MOL), sebab 60 kena campur 120 baru cukup 180, ye cikgu," dia bertanya.

       Saya jawab,"ye betul tu. 60 di tambah dengan 120 barulah cukup 180. Jadi kita kena lah tau kita nak tambah berapa untuk cukupkan nilai sebenar pada sudut tu".   

Sepantas kilat perkataan rephrase ini datang ke dalam ingatan saya. Mujur, sebelum situasi marah menguasai, saya telah bertindak mengubah bentuk penerangan saya secara spontan. Saya mula bertenang, fikir sekejap, saya memandang dia, dia tunduk memandang soalan tadi sambil tersenyum.Dia mengucapkan terima kasih, dan balik semula ke tempat duduknya.

   "Macam ni rupanya bentuk rephrase yang diceritakan dalam bengkel haritu", bisik hati saya.

     Situasi yang saya lalui tadi, sememangnya banyak kali saya lalui, dan kebiasaannya saya memang memaksa pelajar untuk menerima terus jawapan dari saya, tanpa memikirkan sama ada pelajar sebenarnya faham dengan sebenar kefahaman, atau sekadar menjawab faham, demi untuk menjaga hati saya.

    Moga ada pengajaran hari ini untuk saya terus perbaiki diri ini. Guru juga belajar, tau! 







No comments:

Post a Comment