Saturday, 8 September 2012

Satu pintu tertutup, pintu lain terbuka

        Seorang lelaki yang menganggur memohon jawatan sebagai pelayan pejabat di sebuah syarikat komputer A. Pengurus perjawatan syarikat itu menemuduganya, kemudian memintanya menyapu lantai sebagai ujian.

       "Anda diterima bekerja", kata pengurus itu. "Berikan alamat emel anda dan kami akan hantarkan surat lantikan, juga tarikh anda mula bekerja, melalui emel".

        Lelaki itu menjawab, "maaf saya tidak mempunyai emel. Malah saya juga tidak memiliki komputer".

        "Oh kalau begitu maafkan saya. Jika anda tidak ada emel, bermakna anda tiada kelayakan. Sesiapa yang tidak mempunyai kelayakan, tidak dapat memiliki pekerjaan," jawap si pengurus dengan sinis.


       Nampaknya lelaki itu sama sekali tidak akan mendapat pekerjaan itu. Dia buntu dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Sambil berjalan dengan fikirannya celaru memikirkan apa yang patut dilakukan seterusnya, dia sampai ke sebuah pasar raya. Dengan hanya memiliki 10 dolar didalam saku seluarnya, dia memutuskan untuk membeli 10 kilogram tomato. Lelaki itu kemudiannya menjual tomato itu dari rumah ke rumah. Dalam tempoh kurang 2 jam, dia berjaya menjual kesemua tomatonya dan mendapat keuntungan sekali ganda.

       Dia membeli lagi tomato dan mengulangi jualannya dari rumah ke rumah berkali kali dan kemudian pulang ke rumah dengan keuntungan berlipat ganda. Lelaki itu menyedari, dia boleh bertahan untuk terus hidup dengan menjual tomato. Maka, dia mengulangi jualannya dari hari ke hari selepas itu, se awal pagi hingga ke larut malam memperdagangkan jualannya. Dalam masa beberapa bulan kemudian, dia mampu membeli kenderaan kecil bagi membantu urusan dagangannya, dan tanpa mengenal putus asa, kemudiannya sudah mampu memiliki sejumlah kenderaan pengedaran sendiri.

      Dalam tempoh 5 tahun kemudiannya, lelaki itu telah menjadi salah seorang pengedar bahan makanan yang terkenal di bandar tersebut. Dia mula merancang masa depan keluarganya dan memutuskan untuk membeli polisi insurans hayat. Dia menemui seorang broker insurans dan memilih polisi insurans yang bersesuaian dengannya. Broker itu bertanyakan kepadanya tentang alamat emel untuk memudahkan urusan insurans tersebut.

      Lelaki itu menjawab, "Saya tidak mempunyai emel". Broker itu kehairanan dan berkata," Anda tidak mempunyai emel, tetapi berjaya membina rangkaian perniagaan yang besar. Bayangkan bagaimana perniagaan anda jika anda memiliki emel".

      Lelaki itu berfikir sejenak dan menjawab, " Ya, tentu saya hanya akan menjadi pelayan pejabat di syarikat komputer A".



Buat anak didikku, tiada sebarang kejayaan yang sangat manis untuk dikenang melainkan kejayaan itu dilalui dengan penuh kepayahan, jerih lelah dan usaha yang berterusan tanpa mengenal putus asa. Setiap kita mempunyai pelbagai kekurangan, namun kekurangan itu bukanlah pengukur yang kita tidak boleh berjaya. Ibarat cerita ini, andai lelaki tersebut seorang yang mudah menyerah kalah kerana rintangan kata2 dari orang lain, pasti dia tidak akan dapat sampai ke tahap yang dia capai seterusnya. Dia tidak menjadikan kekurangan itu sebagai duri dalam daging yang membantutkan kejayaannya.

Walau satu pintu kelihatannya tertutup, harapan itu hampir tiada disitu, tapi pasti adanya harapan di pintu yang lain, dengan syarat sebagai manusia, jangan terus menyerah kerana satu kegagalan. Sebenarnya, banyak contoh orang-orang yang terkenal di dunia ini, adalah dulunya orang yang pernah 'terjatuh' ketika silamnya. Tapi bangkit dari kegagalan, bangun dari kesedihan dan terus meniti diatas ranjau kehidupan, adalah resipi kejayaan, resipi kemenangan.

Ingat, jangan kerana terasa dengan mulut mereka yang langsung tiada kena mengena dengan hidup kamu, maka kamu sanggup menggadai maruah, memusnahkan masa depan, meninggalkan segala usaha separuh jalan. Sematkan di hati, kamulah penentu kejayaan diri kamu sendiri. Kamu jugalah yang bertanggungjawab memajukan diri sendiri, bukan saya, bukan dia, bukan juga si polan. Hanya kamu, dan usaha kamu, serta iringinya dengan banyak berdoa pada Allah, agar Allah mudahkan urusanmu, agar Allah cerahkan jalan kehidupanmu, agar Allah sentiasa melindungimu, di dalam rahmat dan kasih sayangNya.




>tapi cikgu, saya cuma ponteng kelas je, yang cikgu membebel panjang kenapa..mana saya ada musnahkan masa depan saya..

>> Aik, kamu ingat bila kamu ponteng tu, kamu boleh faham ke pelajaran yang saya ajar masa tu? lagi satu, kamu ponteng tu menandakan kamu ingin terjebak ke lembah orang-orang yang gagal, yang saya contohkan tadi tu orang yang rajin lah, bayangkan kalau lepas dia jual tomato hari pertama, esoknya dia jadi malas dan ponteng sehari untuk tidak meniagakan jualannya.Kamu fikir dia boleh jadi berjaya seperti yang dicapainya tu? Fikirlah apa yang kamu nak jadi masa depan, dan berubahlah membina karakter-karakter yang baik dalam diri kamu. Sebagai permulaan, buang perasaan bosan, sebut banyak-banyak saya minat saya minat dan jangan ponteng kelas lagi. InsyaAllah sedikit demi sedikit, tabiat yang buruk tu boleh dikikis dan kamu boleh berada di landasan yang kamu ingini. Ada hati, semua boleh jadi. Ada usaha, pasti berjaya. Ada keinginan, pasti ada jalan. Saya doakan kamu berjaya.






        '

No comments:

Post a Comment