Tuesday, 18 September 2012

Penghargaan yang membina

         Baru-baru ini, sekolah saya telah menganjurkan suatu program yang dinamakan Majlis Restu Redha Ilmu. Majlis ini diadakan dua kali, iaitu beberapa hari sebelum peperiksaan percubaan  pmr, dan sekali lagi ialah beberapa hari sebelum peperiksaan percubaan spm.


         Secara ringkasnya, majlis ini adalah untuk meraikan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, dan memberi peluang ibu bapa mereka mengucapkan sepatah dua kata kepada guru-guru yang mengajar anak mereka. Majlis ini dirancang dan dikelolakan sepenuhnya oleh guru kaunseling, Ustaz Asri dan dibantu oleh beberapa pelajar dan guru. Majlis dimulakan dengan bacaan yasin, dan doa, kemudian ucapan-ucapan terima kasih yang diberi oleh wakil pelajar, wakil ibu bapa dan wakil guru. Memetik kata Ustaz Asri, adalah penting kita sebagai ibu bapa minta dihalalkan segala ilmu yang dipelajari oleh si anak dari guru mereka, dan amat bermakna ucapan terima kasih daripada ibu bapa kepada guru, kerana guru telah membantu mereka menjalankan amanah untuk mendidik si anak, sedangkan hakikat sebenar tanggungjawab mendidik itu terletak di tangan ibu dan ayah. Halal berhalal dan berterima kasih ini perlu, agar ilmu yang dimiliki si anak, akan membawa keberkatan dalam hidupnya dikemudian hari.










         Apa yang saya ingin ceritakan disini, adalah rasa terharu saya di dalam majlis ini, ketika sesi pelajar membawa ibu bapa mereka untuk bersalam dan bermaaf-maafan dengan para guru. Guru-guru berbaris memanjang di hadapan dewan, dan para pelajar bersama ibu bapa bergilir-gilir diperkenalkan kepada guru-guru. "Mak, ni cikgu Hawa, cikgu yang ajar saya addmath, cikgu ini emak saya" inilah satu contoh yang diucap oleh pelajar saya. Namun dalam kesekian pelajar Tingkatan 5 itu, bukan semuanya diajar oleh saya. Seorang pelajar ini, saya hanya mengenali namanya sebab dia pernah membantu saya menguruskan suatu hal berkaitan rumah Merak (saya guru penasihat rumah sukan Merak dan dia ahli rumah Merak). Pelajar ini membawa ibunya berjumpa saya lantas ibunya bersalam dan berkata, "Terima kasih cikgu, minta dihalalkan ilmu yang cikgu beri pada dia,".

         Saya menjawab, "InsyaAllah kak, dia seorang anak yang baik, mudah-mudahan Allah permudahkan urusannya, terangkan hatinya ketika jawab periksa. Akak bertuah kerana mendapat anak yang baik macam dia. Moga dia dapat berbakti pada akak bila dia dewasa." Saya merasakan jawapan saya itu biasa-biasa saja. Itulah juga doa dan harapan saya untuk pelajar lain. Malah pelajar ini, pelajar ini sebenarnya tidak langsung saya kenali perwatakannya ketika di dalam kelas kerana saya tidak pernah mengajar dia.

         Tapi si ibu, mendengar ucapan saya, terus menangis dan memeluk saya, berbisik berulang kali sambil menangis ke telinga saya dengan ungkapan, "terima kasih cikgu, terima kasih cikgu, terima kasih cikgu. Moga cikgu juga dikurniakan anak yang soleh nanti."  Ohhh!! sebaknya hati saya, terharu dan saya turut menangis berpelukan dengan si ibu tadi. Saya sungguh tak menyangka saya mendapat doa yang begitu tulus dari ibu itu. Perasaan itu, perasaan terharu itu, sungguh tak dapat nak diungkap dengan kata-kata.

Terkenang saya suatu cerita:
(Utusan Melayu tarikh tak ingat)
        Seorang wanita baru berpindah ke sebuah pekan kecil. Setelah berada di pekan itu beberapa minggu, beliau mengadu kepada jirannya mengenai layanan buruk yang diterimanya dari sebuah kedai ubat. Lalu, dia meminta jiran itu menyampaikan rasa tidak puas hatinya itu kepada pemilik kedai.

        Beberapa hari kemudian, wanita itu pergi sekali lagi ke kedai ubat itu. Kali ini, pemilik kedai itu menyambut kedatangannya dengan senyum lebar dan bertanya apa yang boleh dia bantu. Pemilik kedai itu juga menyatakan betapa gembiranya dia melihat wanita itu datang lagi ke kedainya. Dia juga berharap wanita itu dan suaminya akan menyukai kehidupan di pekan tersebut.

        Bukan setakat itu, pemilik kedai itu menwarakan khidmat untuk membantu wanita itu dan suaminya menguruskan pelbagai perkara supaya mereka sekeluarga dapat hidup dengan selesa di tempat baru itu.

        Wanita itu berasa begitu gembira dengan perubahan luar biasa yang ditunjukkan oleh pemilik kedai ubat itu yang memberi layanan baik kepadanya. Dia kemudiannya memberitahu jirannya mengenai perubahan itu.

        "Tentu awak sudah menyampaikan rasa tidak puas hati saya mengenai layanan buruk pemilik kedai itu tempoh hari, " katanya.

         "Oh, tidak," jawab jiran itu. "Sebenarnya saya tidak pun menyampaikan rasa tidak puas hati awak. Maafkan saya. Saya hanya menyatakan kepada pemilik kedai itu betapa awak kagum dengan kejayaannya membuka kedai ubat itu. Saya juga beritahu bahawa awak memuji-mujinya dan merasakan kedai ubatnya adalah kedai ubat yang terbaik dari segi layanan, yang pernah awak temui."



Dalam dunia pendidikan, seperti saya, kami bertemu dengan ramai karakter ibu bapa, malah rakan sejawat juga mempunyai pelbagai karakter dan perwatakan masing-masing. Sering ditemui ibu bapa yang cenderung menyalahkan pihak guru dalam banyak perkara, namun tidak dinafikan ramai juga ibu bapa yang masih menghormati dan menghargai jasa para guru. Yang penting, kita pandai membawa diri, pandai mengolah situasi, pandai membentuk jati diri. Tidak salah merendah diri untuk dihormati. Tidak salah menghargai untuk mendapat kebahagiaan diri ketenangan peribadi. Untuk apalah melemparkan kata hina kalau hujungnya di cela. Untuk apalah menang bicara jika hujungnya mengundang nista.

     


>cikgu, zaman sekarang ni mana boleh baik sangat, nanti orang pijak kita.

>> awak silap. Kebaikan, penghargaan dan kata-kata yang bermakna itu, semuanya makanan jiwa. Tanpa kata-kata yang baik, jiwa akan kering dan kosong. Tak akan mati orang yang mempunyai akhlak yang baik. Tak akan kalah orang yang mengucapkan kata-kata mulia. Merendah diri bukan bererti mengalah. Jangan awak ingat orang yang garang je yang sentiasa menang. Air yang lembut, tapi menitik berterusan boleh melekukkan batu tahu! Ikutlah situasinya. Bertindak ikutlah akal yang rasional. Bukan main hentam kromo je, ingat tu ye.






No comments:

Post a Comment