Wednesday, 1 August 2012

Si jujur yang tidak berputus asa

Tersebutlah kisah raja sebuah negeri yang aman makmur rakyatnya. Raja itu sudah tua tetapi tidak mempunyai putera sebagai pewaris takhtanya. Oleh kerana usianya yang lanjut, baginda pun berusaha untuk mendapatkan seorang pewaris dikalangan rakyatnya. Setelah menemukan cara untuk mempunyai waris takhta, baginda pun memanggil semua pemuda yang ada dalam negeri tersebut.

Apabila semua pemuda-pemuda itu berkumpul, maka baginda pun menyuruh pembantu istana mengagihkan kepada setiap seorang mereka dengan sebiji pasu dan satu biji benih.Baginda bertitah "Barangsiapa yang dapat menumbuhkan dari biji benih ini suatu bunga yang paling cantik dalam masa enam bulan akan datang, maka beta akan lantik dia sebagai pewaris beta".

Maka pulanglah semua pemuda itu dengan hati yang gembira lalu masing-masing berusaha untuk menanam biji benih tersebut.

Seorang pemuda pulang kerumahnya selepas mendapat biji benih daripada raja itu. Dia menanam biji benih itu, tetapi selepas enam bulan, biji benihnya masih lagi tidak bertumbuh, apatahlagi untuk mengeluarkan bunga yang cantik. Sedangkan kawan-kawan didalam kampungnya semua telah berjaya menanam biji benih masing-masing sehingga mengeluarkan bunga yang cantik berwarna warni.


Tibalah masa yang ditunggu. Kesemua pemuda negeri itu berduyun-duyun ke istana raja dengan berpakaian kemas dan cantik, serta membawa pasu bunga masing-masing. Pemuda tadi kesedihan dirumahnya. Ibunya berkata, "Pergilah nak, bawa saja pasu mu ke istana. Kau telah berusaha yang terbaik, itu adalah hasil usahamu".

Pemuda itu, dengan perasaan bercampur baur, mendengar nasihat ibunya dan membawa pasu kosong itu ke istana. Apabila raja lalu dihadapannya, raja tertawa lalu bertanya "Apa ini? Hanya pasu kosong?"

"Saya telah berusaha menanam benih yang tuanku beri. Saya meletakkannya pada tanah yang terbaik dan cahaya matahari yang bersesuaian. Saya menyiramnya setiap hari. Apabila ia tidak bertumbuh, saya mencuba pula menukar tanahnya dengan tanah yang lebih baik tetapi ia tetap tidak mahu bertumbuh", jawab pemuda itu dengan sedih sambil menundukkan kepalanya.

Raja itu tersenyum dan berpaling kepada semua yang hadir lalu mengumumkan pemuda tersebutlah yang bakal menjadi pewarisnya. Baginda berkata, "Inilah dia pemuda yang jujur dan layak mewarisi takhta beta. Beta tidak tahu dari mana semua pemuda lain mendapat biji benihnya kerana mustahil ada yang boleh tumbuh dari biji benih yang beta beri. Beta telah merebus kesemua biji benih sebelum memberikannya kepada anda semua".

Cerita ini ditujukan buat pelajar-pelajar saya yang sering berputus asa, tidak berani mencuba, belum sampai ke penamat sudah menyerah kalah, yang sering menyatakan diri tidak boleh berjaya. Cerita ini menggambarkan, bahawa kejayaan itu tidak datang bergolek. Walaupun hampir tidak nampak dimana kejayaan itu boleh diraih, berlikunya jalan yang ditempuh demi kejayaan, apa yang diperoleh tidak seiring dengan usaha yang dicurahkan, namun percayalah. Langit itu tidak selalunya mendung. Walaupun kamu rasa matematik itu suatu yang sukar, matematik tambahan itu suatu yang mustahil, yakinlah, segala usaha keras itu pastinya akan berbaloi jua dikemudian hari. Yakinlah, kesusahan yang kamu tempuh sekarang pasti akan membuahkan keselesaan dikemudian hari.

>Tapi cikgu, saya memang rasa saya akan gagal la dalam percubaan ni. Susahlah math ni..

>>hmm...anak lelaki pantang berundur sebelum berjuang! Pantang menyerah sebelum berlawan! Ibarat kamu nak mengorat orang perempuan, dia baru gertak sikit kamu dah kecut perut dan menyerah kalah, tak jadi nak mengorat. Macamana nak berjaya? Jangan cepat sangat putus asa. Putus asa tu perangai orang pengecut! tau tak! Nak berjaya kena lah ada usaha. Usaha tu pula bukan sekadar cakap di mulut saja. Mesti ada praktis...praktis...praktis! latih tubi! latih tubi! latih tubi!...latihan! latihan! saya tau kamu pemain bola sepak sekolah. Macamana terpilih sebagai atlet sekolah? Tentu sebab kamu berlatih..kan? konsepnya sama sahaja. nak? atau tanak? kalau nak, usaha lah berlatih tubi banyak kali sampai yang susah jadi senang...faham tak? dah! pegi siapkan latihan yang saya beri tu....






No comments:

Post a Comment