Monday, 23 September 2013

Kami traveller :)

Berlalu sudah hujung minggu yang padat. Guru-guru bekerja 7 hari kerana ada program perkampungan ilmu sabtu dan ahad. Saya di amanahkan dua slot, sabtu untuk slot matematik tingkatan 3 dan ahad mengendalikan slot matematik tambahan tingkatan 5. Takpe, saya dah biasa dengan program seperti ini. Mengendalikannya, langsung tiada masalah bagi saya. Persediaan bahan telah dibuat sejak 2 minggu sebelum program ini. Yang saya tidak biasa, tiba-tiba..(wah macam cemas lah kononnya!) tiba-tiba suami saya juga mendapat surat panggilan berkursus pada tarikh minggu yang sama!

Oh oh~ macamana anak-anak? Buah hati yang tiga orang tu, macamana nak urus ni? Selalunya bila ada program, suami akan mengambil alih menjaga mereka. Jadi kali ini, kerana suami juga berkursus, saya mengambil keputusan membawa mereka ke sekolah, dan yang lebih menariknya, bawa mereka menumpang bermalam di rumah warden asrama hehe...

Macam-macam pertanyaan anak-anak saya.

 "Ibu, kita nak tidur dekat dorm macam kakak dan abang tu ke?"
"Tak. Kita tidur di rumah warden, rumah kawan ibu."

"Ibu best ke tidur asrama?"
"Best. Sama macam tidur di hotel"

 "Ibu nanti kita makan ramai-ramai dengan abang dan kakak di dewan makan ke?"
"Iya. Seronok beratur dan makan ramai-ramai ni"

 "Ibu kenapa ayah tak ikut kita?
"Sebab ayah pun kena pergi kerja"

"Ibu kat asrama ada disneyXD tak?"
"Takde"

 "Ibu kita tidur dekat asrama ke kita tidur kat khemah dekat sekolah ibu?"
"Kan ibu dah kata, kita tidur kat rumah kawan ibu!" (suara dah mula tinggi dah~)

Kenapa nak bermalam? Sebab saje. Suka. Mengada. Suami takde kat rumah. Sekolah jauh. Minyak mahal. Slot ahad dijadualkan 8 pagi. Takut tak sempat gerak dari rumah bersama anak-anak.
Yang paling utama, saya suka memperkenalkan anak-anak dengan situasi luar dari kebiasaan. Statik, sama je hari-hari... itu bosan bagi saya. Jika berpeluang memberi kelainan, saya akan cuba mencari kelainan itu....(Haha~ bunyi cam bagus je kan! padahal berpeluh gak masa mula-mula fikir cemana nak handle situasi ni)

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, sangat lancar. Anak-anak cepat menyesuaikan diri. Terima kasih yang tak terhingga kepada Anizah yang sudi melayan kerenah Yussuf, Khadijah dan Lukhman. Cik Jah kena jadi baby sitter masa saya mengendalikan slot saya. Terima kasih Anizah dan Huda :)

Slot saya pada hari ahad, tamat jam 10 pagi. Bergerak sekitar jam 11 untuk balik ke rumah, HOme sweet home~ tapi...
 Diperjalanan, suami menghantar sms.."tak mau datang sini? Anak-anak boleh mandi kolam"
Apa? kolam? wah wah wah itu sudah pasti lah mengundang 100% perhatian dari ketiga-tiga anak saya. Hilang cerita nak berehat di rumah, nak mengemas rumah, kepala saya ligat berfikir nak berjalan lagi.




Tapi suami kursus di KL. Hotel Vivatel . Tak pernah tahu di mana. Malahan, jalan di KL juga tidak mahir. Buatnya sesat? ....taapiii...nak mandi kolam(ceh kau ni hawa! macam kat seremban takde kolam je~) tapi macam ayat saya di atas, saya suka kan kelainan hahahahah

Takpe! Komuter ada. Naik komuter macamana? Berhenti dimana? Suami pun tak biasa juga dengan selok belok train di KL. Suami cuma kata, dia tanya dengan receptionist, stesen terdekat adalah Stesen LRT Miharja. Saya jawab ok! Pandailah cari. No worries. Kami traveller :)

Maka, sampai di rumah seremban, lebih kurang jam 12.10 tengahari. Hanya ambil beg jenis backpack, packing baju-baju renang anak-anak, baju tidur dan beberapa keperluan yang penting-penting sahaja.
Sampai di komuter, saya ambil keputusan beli tiket ke KL Central. Haha disini saya memang semberono! Tidak selidik terlebih dahulu betul ke pembelian saya ni. Hanya excited untuk pergi. Dan dalam fikiran hanya ada 'KL central, pusat tumpuan semua train. Pasti ada yang melalui Miharja dari situ.' Confident betul!

Ok. Sampai di KL Central, petugas counter kata, kena tukar train di Masjid Jamek, sebab saya dah terlepas Bandar Tasik Selatan, tempat pertukaran train menghala ke Ampang. Ok takpe. Takde masalah. Beli saja dan ikut saja seperti arahan. Saya kan berangan nak jadi pengembara backpackers! Kalau setakat kat Malaysia dah mengalah, macamana nak pergi oversea kan? Huuhuhuhu

Seronoknya kami naik kereta api!


Dengan si ibu nya menggalas beg di belakang, dan tangan memimpin 3 orang budak, mudah sahaja mengundang pertanyaan, nak pergi mana ni? Anak-anak jawab, nak cari ayah. Di mana? Di hotel.
Hahahaha bunyi macam serius anak dengan ibu tengah buat jejak kasih. Cari ayah di hotel. Ayah macam lari dari rumah jek hihihi
Wajah ceria anak-anak. Langsung tak kisah diheret ke sana sini.

Sampai di Masjid Jamek, buat cerita haru. Turun-naik, ke Sentul Timur. Mana laluan untuk ke Ampang ni? Dua kali petugas kaunter memberi arahan, laluannya salah. Kena patah balik, bukan lalu bawah tanah tu, kena naik atas, sepatutnya. Anak-anak gelakkan saya "Hahaha ibu sesat", saya jawab "itulah korang asyik berlari-lari je, ibu jadi pening tak boleh berfikir," padahal ibunya memang over confident. Dipendekkan cerita sampailah kami ke stesen Miharja.

Masa dalam train lagi, suami dah mengingatkan jauh jalan kaki, kena naik teksi. Saya pun dengan yakin jawab, "jangan risau. Mesti sampai punya. Boleh cari. Tak perlu naik teksi." Tapi bila keluar dari stesen tu, Eh! belah mana hotel ni? tak nampak hotel pun, yang ada bangunan flet je. Celah sebelah mana ni? Nak tanya orang pun, lengang je tak nampak orang pun. Jam dah pukul 4 petang. Memang hebat pengembaraan ni. Naik 3 kereta api. terpusing-pusing di stesen masjid jamek entah dah berapa minit.  Dah sampai sini, terlopong entah di mana pulak bangunan yang di cari. Tak sangka saya hampir sesat di Kuala Lumpur huhuhu

Memang dipermudahkan Allah, dalam lengang dan sunyi dan terpinga-pinga, lalulah teksi yang perlahan, seolah-olah memang di hantar Allah untuk menjemput kami. Berhenti betul-betul depan kami, dan dengan senang hatinya membawa kami ke Hotel yang dimaksudkan, siap berhenti depan lobi, dan hanya mengenakan bayaran RM1 ! Terima kasih pakcik Teksi. Tak ambil pula no teksi pakcik yang baik hati tu. Tapi sebenarnya, hotel tu memang dah tak jauh pun. Hanya belakang flet coklat tu saja. Memang dekat!

Apapun, pengembaraan kami selesai dengan berhentinya kami di lobi hotel, menunggu encik suami turun memberi kad biliknya.

Cerita ini, cerita yang panjang dan meleret ini, hanya untuk menyatakan, saya sayang sangat-sangat dengan anak-anak saya yang sangat tak banyak kerenah. Sudi di heret ke hulu ke hilir oleh ibunya yang tah hapa-hapa nih - Kami traveller . Yang pasti, saya tidak serik berjalan dengan mereka :)




1 comment: