Skip to main content

Guru Penyayang? Perlu di dokumentasikan?

         Memerhatikan seorang rakan guru yang masih menunggu di pejabat selepas 15 minit waktu punch card, saya terpanggil untuk bertanya, "Buat apa lagi tak balik ni kak?,".

"Tengah tunggu pelajar, ada hal sikit," jawabnya perlahan sambil tersenyum manis. 

          Pelajar-pelajar sekolah pada masa itu sedang berkumpul di dewan terbuka sekolah kerana ada sedikit taklimat selepas waktu persekolahan. Cikgu-cikgu lain semuanya sudah menderu pulang dengan kenderaan masing-masing. Saya ada sedikit hal di pejabat. Maka apabila selesai urusan saya, kelihatan dewan terbuka yang sudah lengang, tinggal beberapa pelajar yang dihampiri oleh rakan guru yang menunggu tadi. 

          "Tahniah ye, diatas kejayaan peperiksaan PMR kamu yang lalu," saya terdengar rakan guru tersebut berkata. Saya memperlahankan langkah saya. Rakan guru saya itu menghulurkan kertas angpau merah yang saya yakin berisi 'hadiah' didalamnya kepada beberapa pelajar yang menunggu disitu. Mereka semuanya tersenyum gembira dan bersalaman dengan guru tesebut. Berbual mesra dan bergurau sesama mereka. Rakan guru saya tidak sedar saya berada di belakangnya, dan memang saya yakin hanya saya sahaja yang menyaksikan kemurahan hati dan kasih sayang beliau kepada anak muridnya.

          Mengapa saya ceritakan peristiwa ini? Tahun lepas 2013, ada pelancaran suatu program di sekolah, yang dinamakan "Guru Penyayang". Program ini menuntut para guru menunjukkan sifat-sifat guru penyayang di khalayak ramai. Antaranya mewajibkan para guru untuk 'terpacak' di depan pintu pagar di awal pagi kedatangan pelajar, senyum dan mengusap pelajar, mengucapkan selamat datang, kerana nantinya akan ada pegawai dari jabatan atau daerah, yang mengintai, dan mengambil gambar, dan merekodkan kelakuan tersebut supaya boleh dianugerahkan sesuatu atau entah apa pun saya dah lupa. 

          Jika anugerahlah yang diharapkan oleh rakan guru tadi, sudah tentu dia akan melakukannya di khalayak ramai. Dengan war-war sumbangan di perhimpunan dan sebagainya supaya perlakuannya direkodkan. Tapi bukan itu yang diingininya.  Inilah guru penyayang sejati, yang tidak membuka kemurahan hati untuk tatapan gambar dan dokumentasi. Dan syukur alhamdulillah. Sepanjang 12 tahun di sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah, juga 5 tahun di maktab dan Universiti. Kini 10 tahun di arena perguruan, saya sering diberi kesempatan melihat kasih sayang sejati para guru kepada muridnya, kasih sayang ikhlas kerana Allah. Bukan kasih sayang 'plastik' atau pura-pura demi mendapat pengiktirafan dan penganugerahan. Kata Pujangga, ikhlas itu ibarat ' tangan kanan menghulur jangan sampai tangan kiri ternampak'.

         Bukan saya tak menyokong program ini, saya amat berterima kasih kepada kementerian kerana berusaha untuk menaiktaraf dan menambah baik sikap para guru agar lebih bersemangat dalam menjalankan tugas sebagai guru. Sekurang-kurangnya, program ini memang membuka mata guru yang tidak tahu cara menyalurkan kasih sayang, atau membuka mata masyarakat bahawa guru yang mendidik anak mereka ini membantu lebih dari sekadar mengajar, malah membantu mengukuhkan institusi kekeluargaan.

         Cuma pada pendapat peribadi saya, terlalu banyak guru yang sebenarnya tanpa rekod, melakukan banyak keikhlasan sebagai tanda kasih sayang mereka kepada pelajar. Terlalu banyak guru menabur kebaikan, berkorban wang ringgit tanpa berkira, tidak kurang juga masa dan tenaga kerana kasih sayang. Kerana mereka adalah guru yang penyayang, yang sayangkan anak didik mereka seperti kasihkan anak sendiri. Membawa anak sendiri bersama2 ke sekolah, untuk memberikan kelas tambahan percuma kepada para pelajar, tanpa sebarang imbuhan semata-mata demi kejayaan anak didiknya. Memberikan perkhidmatan sebagai ibu dan ayah secara tulus tanpa mengharap apa-apa imbuhan dari pelajar yang tinggal di asrama. Mungkin ada yang berkata, alah jadi warden tentu dapat elaun, dah memang tugas kau. Tapi kalau kita bayangkan, RM240 elaun warden, bahagi 26 atau 30 hari (tolak cuti balik rumah) , purata sekitar RM8~RM9 sehari. Kerja jaga barang kat stor pun RM10, inikan pulak jaga orang, sakit pening, hantar klinik, hospital, kos telefon bimbit..bukan jaga seorang, berpuluh beratus pulak tuh.

         Jadi macam mana nak menilai guru penyayang ni? Cuba tanya guru-guru, siapa yang tidak pernah keluarkan duit poket sendiri walau singgit pun untuk pelajar? Paling-paling pun, "nah ambik RM1 nih pegi beli aiskrim". Ataupun yang membelikan hadiah sempena hari lahir pelajar. Ataupun yang mengeluarkan duit poket sendiri membuatkan kek untuk jamuan akhir tahun kelas. Ataupun yang menghulurkan duit poket sendiri untuk duit makan pelajar ketika apa2 pertandingan. Ataupun yang menggunakan duit minyak kereta sendiri sebab tak boleh 'claim' untuk bawa budak ke pertandingan. Ataupun kalau bukan wang ringgit, siapa kah guru yang tidak pernah menjadi penceramah percuma? Waktu P&P bukan sekadar mengajar silabus, tetapi juga nilai-nilai murni menghormati, menasihati anak-anak didik agar ingat tentang masa depan. Mereka bukan melakukan dengan dipaksa oleh sesiapa. Mereka sudi melakukannya kerana sayang. Ya, kerana kasih sayang. Kerana mereka juga manusia, dan kerana 'pelanggan' mereka juga manusia. 

     Cara penyampaian mungkin berbeza. Ada yang menunjukkan kasih sayang dengan marah, dengan rotan, namun ramai yang menunjukkan kasih sayang dengan kasih sayang juga. Sila angkat tangan, ada tak ibu bapa yang tidak pernah menegur anaknya walau sekali, dengan alasan sayangkan anak? Kalau ada yang pernah demikian, sila tonton cerita P. Ramlee 'anakku sazali' ye, dan lihat kesannya kepada sahsiah anak. Saya sendiri sering dicubit oleh emak sepanjang tempoh membesar, dan mak saya sentiasa berkata, "sebab mak sayang, sebab tu lah tegur. Mak tak nak kau buat macam tu,".




     Apapun, guru itu lumrahnya memang penyayang. Kerana tugasnya mendidik anak bangsa. Mendidik generasi masa hadapan. Wahai rakan guru, walau kasih sayangmu tidak diberi penghargaan oleh sesiapa, yakinlah Allah tidak pilih kasih dalam penilaianNya. Moga kasih sayang para guru kepada anak didiknya, terus mewangi. Terus subur meniup keikhlasan pada diri. Tidak kerana anugerah. Hanya kerana Allah.








                   

Comments

  1. Hehe..dh bce..xperlu didokumentasikan..penerapan nilai melalui kasih sayang,objektif yg xboleh diukur...hanye Allah yg tahu...dlm wang ringgit mmg xternilai..atas dasar amanah dan tanggungjawab, itulah guru..nk komen rm240, kalau nk dihuraikan bidang tugasnya pasti sume org xsanggup..kalau nk dihitung nilai rm240= berkorban masa bersama keluarga,mase rehat,mase tidur,mase makan,mase utk diri,mse berjumpa kwn2 dan segala2nye...takkan sama,takkan sama dan takkan sama..tapi Allah adalah sebaik2 perancang atas segala apa yg berlaku...itulah dinamakan pembelajaran sepanjang hayat..cube berfikir lebih positif dan sentiasa belajar dari kehidupan yg dilalui utk diaplikasikan dlm jiwa seorang insan yg bergelar "guru"...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tema colour blocking untuk hari guru 2018

         Sambutan hari guru tahun ni meriah sungguh dengan pelbagai warna warni pakaian guru2 smk durian mas. Tema colour blocking sememangnya tema yg menarik kerana guru2 dikehendaki memakai pakaian yg berbeza2 dan kontra warna nya. Tidak boleh sama kaler tudung dgn kaler baju dengan kaler kain dengan kaler kasut dengan kaler handbag hehehehe memang puas juga lah membuka wardrobe dan menyuai padan semua kaler2 baju sedia ada hihihi 😁         Semua rakan guru tak kira lelaki atau wanita mmg bersatu hati memenuhi kehendak tema. Saya kebetulan merupakan guru bertugas minggu ni. Jadi tak dpt sama2 berselfie masa pagi sebelum semua guru bersedia berarak dan masuk ke dewan dmas. Anggun, jelita, hensem, gojes semua rakan2 guru 😍 colourful hehehe Walaupun kami bertugas mengawal murid2, nak selfie jugak hahahaha Aktiviti hari guru adalah seperti masa2 sambutan yg lalu, membaca perutusan dari pihak2 atasan seperti kppm dan jpn, sukaneka, persembah

Fibroid : Wanita tanpa rahim

Ini cerita saya yg terkini. 2019 yg penuh memori. Gambar harini, first day kerja, 3 minggu selepas pembedahan. Muka nampak cengkung dan kurus sgt. Saya hilang byk berat badan dek kerana hilang byk sgt darah sebelum ni. Harap lepas ni dpt berisi sikit hehe Hari ini genap 3 minggu selepas saya membuat pembedahan buang fibroid dan rahim. Hari ni juga hari pertama saya mula bekerja semula. Alhamdulillah  dapat kelulusan untuk duduk mengajar di bilik khas bilik APD( alat pandang dengar) sepanjang 2 minggu akan datang ni. Jadi tak perlu naik tangga turun tangga untuk ke kelas2 pelajar. Hanya duduk di sini dan menunggu pelajar2 saya datang. Walaupun secara keseluruhan nya saya merasa sihat dan sudah boleh mula bekerja, tetapi kena juga menjaga kesihatan supaya tak mendatangkan apa2 mudarat. Jangan berjalan banyak, jangan berjalan laju sgt, dan jangan angkat benda2 yg berat. Sekurang2nya sebulan setengah kata doktor. Sebab tu saya mohon izin duduk bilik ni buat sementara. Men

20 Aktiviti untuk Pelajar Pasca PT3

Setelah selesai Pentaksiran PT3, waktu persekolahan masih ada berbaki lagi sebulan lebih bagi pelajar-pelajar tingkatan 3. Nak belajar lagi? Rasanya inilah ruang dan waktu untuk mereka melepaskan tekanan selepas berusaha bersungguh-sungguh belajar dari awal tahun untuk memastikan kecemerlangan dalam pencapaian akademik mereka.  Apa yang boleh dilakukan oleh para pelajar? Aktiviti yang masih berada dalam skop pembelajaran, pdp luar bilik darjah. Sekolah saya telah menetapkan bahawa pelajar-pelajar ini akan di kawal selia oleh satu unit panitia sekurang-kurangnya 3 kali pertemuan di sepanjang tempoh program pasca. Guru-guru yang terlibat akan merancang dan menjalankan aktiviti sepanjang waktu pdp sehari bersama panitia yang ditetapkan. Berikut saya kongsikan antara aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh pelajar pasca pt3 2017 sekolah saya. 1. English Day Carnival     Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang sehari ini ialah explorace dan treasure hunt. 2