Skip to main content

memori untuk abah

Pada masa entry ini saya taip, abah baru saja kembali ke rahmatullah 13 hari yang lalu. Terkenang betapa sayunya hati ketika mengadap tubuhnya yang sedang nazak, hanya cukup-cukup masa yang diberi Allah untuk kami adik beradik pulang dan memohon maaf daripadanya, serta merelakan pemergiannya.

Kronologi bermula pada malam hari guru 16 mei 2012, abah ke masjid seperti rutin biasanya, menunaikan solat jemaah di masjid. Pergi dengan memandu kereta kancil kak Tini, sebelum maghrib dan dapat solat maghrib berjemaah, kemudian bangun berwuduk untuk solat isyak. Tatkala takbiratul ihram diangkat oleh imam untuk solat isyak, abah dikatakan mengesot undur ke belakang, dan sebelum beliau rebah, sempat disambut oleh seorang jemaah lain, dibaringkan diatas sejadah sebelum jemaah tersebut meneruskan solatnya.

Usai sahaja solat isyak, bergegas jemaah menghubungi keluarga dirumah. Kak Ida dan abg Mie yang segera menyusul ke masjid selepas mendapat perkhabaran, sentiasa disisi abah sehingga ambulans tiba untuk membawa ke hospital. Emak menyusul kemudian, dengan bantuan abg Razak anak saudara abah. Oh berderau darah saya ketika membaca sms kak ida "abah pengsan di masjid, kami tengah tunggu ambulans".

Sebenarnya disini, dirumah saya, saya resah dan gelisah. Selepas solat magrib, saya berkata kepada suami, "rasa seluruh badan tak sihat, taktau kenapa, rasanya seperti hendak cuti sahaja esok, emosi sungguh terganggu". Suami hanya diam dan saya berlalu ke ruang tamu melayan kerenah anak-anak. Kedengaran bunyi telefon bimbit, oh panggilan dari biras saya yang duduk di Dungun, kak Maria. Sedang kami berbual, bunyi 'bip' menandakan masuk message ke dalam telefon bimbit saya, serentak talian terputus. Inilah sms perkhabaran tentang abah.

Terus sahaja saya menghubungi kak ida dan bertanya tentang abah, keadaannya, apa yang berlaku secara ringkas.Namun, dihujung perbualan, kak ida berkata " akak rasa abah kena strok, awa baliklah". Tidak berfikir panjang, saya memberitahu suami dan kami terus berkemas untuk pulang. Jam lebih kurang 10.45 malam ketika kami bertolak dan lebih kurang 12.30 malam ketika kami tiba diperkarangan unit kecemasan hospital Batu Pahat. Sesampai sahaja diruang menunggu unit kecemasan tersebut, kak ida terus mengambil alih mendukung puteri saya si kecil noi, dan menyuruh saya menjenguk abah di dalam.

"Abah, awa datang ni, awa datang nak jumpa abah", saya bisik sayu ditelinganya. Abah yang cengkung, abah yang telah dimasukkan dengan tiub pada hidungnya, pada tangannya, terbaring sepi tidak menjawab. Abah yang sering tersenyum menyambut kepulangan saya sekeluarga, abah yang gemar ketawa tidak lagi mampu menghulur tangannya untuk saya salam dan cium. Terbaring kaku, namun saya lihat bawah matanya sedikit bergerak dan ada genangan air mata dihujung kelopak matanya. "Ya Allah, kau ringankanlah kesakitan yang sedang ayahku tanggung"..

Emak yang setia menunggu abah, menceritakan bahawa pada pagi tersebut, pagi hari guru itu, abah sempat bereaksi seolah-olah saya ada dihadapannya, dan mengucapkan "Selamat Hari Guru Siti Hawa". Malangnya, abah tidak sempat mendengar ucapan selamat dari saya. Abah yang merupakan seorang pesara guru agama, mengaji dan mengalunkan zikir-zikir adalah amalannya disepanjang hidupnya, terutama selepas beliau bersara. Saya anak yang paling bongsu, mendapat layanan sepenuhnya sebagai anak manja, yang duduk di bawah ketiak emak dan abah sehingga tamat tingkatan 5. Abah pencen sejak saya berumur 6 tahun. Setiap hari ke sekolah saya dihantar, balik dijemput, sejak darjah 1 hinggalah ke sekolah menengah. Pernah emak memohon kepada guru saya untuk menempatkan saya diasrama dengan alasan saya ke sekolah menaiki basikal dan akan hadapi masalah jika hari hujan. tapi itu langsung tidak jadi masalah bagi abah, sebab dia yang akan hantar saya ke sekolah jika hari hujan. Saya tidak pernah mempunyai alasan untuk ponteng kerana abah sentiasa sedia menghantar saya ke sekolah. Saya juga tidak pernah tiada peralatan yang lengkap untuk ke sekolah, sebab abah sentiasa melengkapkannya untuk saya. Cikgu cerita para pelajar bagus ada kamus saiz poket, sesuai dibawa kemana sahaja sebab saiznya kecil. Balik rumah bila cerita pada abah, abah terus ajak pergi ke kedai buku dan belikan saya kamus tersebut.Esoknya ke sekolah sudah bawa kamus yang dibeli oleh abah. Cikgu minta bawa pen tulisan khat untuk kelas pendidikan seni, cikgu kata kongsi beli dengan kawan sebab pen itu mahal harganya. Saya? Bila balik rumah cerita dengan abah, abah terus ke bandar membelikan saya pen tulisan khat itu, saya ingat lagi harganya RM35 (memang mahal untuk saya seorang budak sekolah tahun 90-an). Abah kata tak perlu kongsi abah boleh belikan. Banyak lagi, banyak lagi yang dilakukan oleh abah saya yang baik hati, abah yang penyayang dan pengasih dengan isteri dan anak2. "Ya Allah, moga Kau juga sentiasa mengasihinya disana".
                                 
                      

Abah pergi meninggalkan kami pada hari khamis 17 mei 2012 jam 12 tengahari, pada umurnya 81 tahun, meninggalkan isteri yang dikasihi, 6 orang anak, 5 orang menantu, 18 orang cucu, 2 orang cucu menantu dan 2 orang cicit. Meninggalkan emak setelah 55 tahun hidup bersama. Meninggalkan segalanya yang fana di dunia ini, pergi menghadap Ilahi. Semoga rohnya tenang di sana, bersama-sama para solehin  yang terdahulu darinya. Amin..


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnyakecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 


Salam sayang, salam kerinduan buat abah...sampai masa kami pula akan menyusulmu disana..

Comments

  1. Salam adikku Ct Hawa,
    Airmata ini mengalir buat sekian kalinya membaca entri ini, memang abah kita satu dan tiada ganti, setiap anak2 akan sentiasa mengingati tawa rianya bila berada disisinya, mengingati segala kebaikannya semasa kita membesar dibawah jagaannya dan dengan senang hati menerima setiap menantu dengan tangan terbuka...kini kita hanya dapat menghitung2 semua kebaikannya kepada kita, dan kita juga sentiasa terbayang waktu singkat pertemuan disaat saat terakhirnya...alfatihah buat abah tersayang...semuga abah tenang berada disana...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tema colour blocking untuk hari guru 2018

         Sambutan hari guru tahun ni meriah sungguh dengan pelbagai warna warni pakaian guru2 smk durian mas. Tema colour blocking sememangnya tema yg menarik kerana guru2 dikehendaki memakai pakaian yg berbeza2 dan kontra warna nya. Tidak boleh sama kaler tudung dgn kaler baju dengan kaler kain dengan kaler kasut dengan kaler handbag hehehehe memang puas juga lah membuka wardrobe dan menyuai padan semua kaler2 baju sedia ada hihihi ๐Ÿ˜         Semua rakan guru tak kira lelaki atau wanita mmg bersatu hati memenuhi kehendak tema. Saya kebetulan merupakan guru bertugas minggu ni. Jadi tak dpt sama2 berselfie masa pagi sebelum semua guru bersedia berarak dan masuk ke dewan dmas. Anggun, jelita, hensem, gojes semua rakan2 guru ๐Ÿ˜ colourful hehehe Walaupun kami bertugas mengawal murid2, nak selfie jugak hahahaha Aktiviti hari guru adalah seperti masa2 sambutan yg lalu, membaca perutusan dari pihak2 atasan seperti kppm dan jpn, sukaneka, persembah

Fibroid : Wanita tanpa rahim

Ini cerita saya yg terkini. 2019 yg penuh memori. Gambar harini, first day kerja, 3 minggu selepas pembedahan. Muka nampak cengkung dan kurus sgt. Saya hilang byk berat badan dek kerana hilang byk sgt darah sebelum ni. Harap lepas ni dpt berisi sikit hehe Hari ini genap 3 minggu selepas saya membuat pembedahan buang fibroid dan rahim. Hari ni juga hari pertama saya mula bekerja semula. Alhamdulillah  dapat kelulusan untuk duduk mengajar di bilik khas bilik APD( alat pandang dengar) sepanjang 2 minggu akan datang ni. Jadi tak perlu naik tangga turun tangga untuk ke kelas2 pelajar. Hanya duduk di sini dan menunggu pelajar2 saya datang. Walaupun secara keseluruhan nya saya merasa sihat dan sudah boleh mula bekerja, tetapi kena juga menjaga kesihatan supaya tak mendatangkan apa2 mudarat. Jangan berjalan banyak, jangan berjalan laju sgt, dan jangan angkat benda2 yg berat. Sekurang2nya sebulan setengah kata doktor. Sebab tu saya mohon izin duduk bilik ni buat sementara. Men

20 Aktiviti untuk Pelajar Pasca PT3

Setelah selesai Pentaksiran PT3, waktu persekolahan masih ada berbaki lagi sebulan lebih bagi pelajar-pelajar tingkatan 3. Nak belajar lagi? Rasanya inilah ruang dan waktu untuk mereka melepaskan tekanan selepas berusaha bersungguh-sungguh belajar dari awal tahun untuk memastikan kecemerlangan dalam pencapaian akademik mereka.  Apa yang boleh dilakukan oleh para pelajar? Aktiviti yang masih berada dalam skop pembelajaran, pdp luar bilik darjah. Sekolah saya telah menetapkan bahawa pelajar-pelajar ini akan di kawal selia oleh satu unit panitia sekurang-kurangnya 3 kali pertemuan di sepanjang tempoh program pasca. Guru-guru yang terlibat akan merancang dan menjalankan aktiviti sepanjang waktu pdp sehari bersama panitia yang ditetapkan. Berikut saya kongsikan antara aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh pelajar pasca pt3 2017 sekolah saya. 1. English Day Carnival     Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang sehari ini ialah explorace dan treasure hunt. 2