PERCUTIAN GELANG PINK
Akhirnya, bayangan virus yang paling ditakuti abad ini, Covid 19, menjengah dan menyapa di pintu rumah kami.
Pada 10 april lalu, anak bongsu saya, shahida, telah tersenarai sebagai kontak rapat kepada salah seorang sahabat nya yg positif di taska. Anak kami di arah untuk swab test kerana ini adalah prosedur KKM. Walaupun keberadaan sahabatnya tu sekejap je di taska sebelum dicutikan oleh ibu bapa nya, tapi sebagai salah satu tempat yang dikunjungi, semua rakan dan guru di taska tetap perlu di swab test. Akur dengan arahan, saya dan suami membawa anak kami ke kk paka untuk di swab test walaupun kami yakin saida tak apa apa.
Ketika swab test berlangsung, saya rasa anak saya lah paling hebat meronta dan menjerit, berbanding kawan kawan dia 🤣🤣🤣 Ayahnya peluk dan pegang badan dan tangan dia, saya peluk dan pegang kaki dia yang nak menendang staf kkm tu, seorang staf memegang kepala dan membuka mulut, dan seorang lagi tolong mengambil sampel dari mulut dan hidung.
Selepas sampel pertama di ambil, saida perlu menjalani kuarantin selama 7 hari. Taska juga di tutup selama tempoh tersebut. Timbul satu masalah kepada kami, siapa pula nak menjaga anak yg dalam kuarantin dan pakai gelang pink ni. Pegawai kkm menyatakan bahawa surat kuarantin anak itulah sebagai bahan bukti untuk ibu bapa berbincang dan dapatkan cuti daripada majikan masing masing.
Sebagai seorang guru, saya tahu bahawa kuasa mencutikan anak terletak di tangan ibu bapa. Jadi, bila berlaku mcm ni, saya terus mencutikan ke semua anak anak saya di rumah. Yussuf yang tingkatan 1, noi yang darjah 4, dan fateh yang 6 tahun. Self kuarantin. Jadi bermula tarikh saida kena swab test dan perlu menjalani kuarantin, semua abang dan kakak dia juga berada di rumah utk sama sama self kuarantin.
Tapi bagaimana dengan saya? Saya tak boleh cuti kerana majikan kata, surat atas nama anak saya. Bukan atas nama saya. Jadi termenung juga lah, dan akhirnya saya ke sekolah juga dalam keadaan bimbang untuk hari pertama dan kedua semasa anak saya belum tau result swab test. Cuba sedaya upaya utk tidak bercontact dengan rakan rakan guru dan anak murid. Perjalanan dua hari yg penuh dengan perkataan "jangan dekat saya.saya sedang dalam self kuarantin" bila ada anak murid yg tiba tiba je muncul di sebelah saya.tiba tiba je datang mendekat. Maklum saya guru popular 🤣
Syukur alhamdulillah, suami lebih mudah mendapat pelepasan cuti kerana prosedur kilang tempat dia bekerja yang lebih teliti dalam mengawal agar jangkitan di kilangnya tidak berlaku. Setakat ni kilang dia memang mengekalkan zero case covid. Sesiapa yg ada contact rapat, atau mempunyai ahli keluarga dengan yg contact rapat, staf kilang itu akan diarah work from home sehingga tamat tempoh kuarantin. Jadi, suami lah yg membantu urusan menjaga anak sewaktu saya perlu ke sekolah.
Pada hari ketiga kuarantin, saya mula mengambil cuti rehat guru (crk) kerana saya berasa tidak mampu berlama lama di sekolah. Saya berniat untuk menghabiskan baki kuarantin anak saya dengan saya juga sama sama kuarantin di rumah.
Ptg hari ketiga itu, akhirnya result swab test keluar. Syukur, kesemua result swab test pelajar taska dan guru negatif. Saya berasa sangat lega. alhamdulillah seperti yg saya jangka kan. Anak saya memang sihat alhamdulillah. Tapi saya tetap meneruskan cuti crk saya dengan niat biarlah sama sama buka sekolah secara rasmi dengan semua anak saya yg lain juga. Sebab saida masih tetap perlu menghabiskan baki kuarantin yg ada. Gelang pink hanya akan di potong selepas 7 hari.
Selepas result swab pertama keluar, prosedur seterusnya, kkm mengarahkan mereka semua untuk swab test sekali lagi. Swab test kedua lebih santai, hanya dihidung. Dan result tak perlu tunggu tiga hari. Boleh diketahui dalam tempoh 3 ke 4 jam.
Tapi, Allah kata, tidak boleh mengaku beriman jika kita tidak diuji. Dengan tidak disangka, Saida menjadi satu satunya pelajar yg sangkut dalam swab test kedua ni. Tak pasti sangkut kerana apa, tapi result mendapati, ada tanda tanda positif virus dalam swab test nya. Allahu, mendapat panggilan telefon dari pegawai pusat kesihatan ni, debar nya jangan cakap lah. Memang berdebar. Tapi saya percaya anak saya sihat dan ini sememangnya ujian Allah atas apa jua kekhilafan saya.
Selepas swab test ketiga, pegawai pusat kesihatan daerah(pkd) memaklumkan bahawa saida perlu di kuarantin di pusat kuarantin wakaf tapai. Saya perlu mengikut saida sebagai penjaga kerana umurnya yg 4 tahun, belum pandai berdikari lagi. Manakala semua ahli keluarga lain, suami dan anak anak lain,perlu menjalani self kuarantin dan juga memakai gelang pink di rumah supaya tidak boleh kemana mana.
Kenderaan kkm akan ambil saya dan saida di rumah selepas berbuka puasa pada hari itu juga. Allahu.. cuti kuarantin yang saya rayu rayukan sangat masa mula mula kejadian ni berlaku sebab ada masalah dalam urusan penjagaan anak yg kuarantin, Allah telah makbulkan permintaan saya dengan caraNya yg tersendiri. Dapat terus bercuti di pusat kuarantin!
Bila result ni sangkut, maka bermula lah siasatan rangkaian di pihak kami pula. Walaupun saya maklumkan anak anak saya dah start cuti bermula tarikh yg sama, tapi pkd tetap perlukan semua senarai contact dalam tempoh 14 hari ke belakang dari tarikh hari itu 14 april, sebagai persediaan.
Saya perlu memberikan nombor guru guru kelas anak saya, supaya pegawai pkd boleh hubungi dan dapatkan maklumat rakan rakan di kelas mereka. Yussuf, tingkatan 1 sekolah sama dengan saya. Kalau result swab test ketiga adik dia positif, memang kluster sekolah kami pulak lah yg akan wujud. Rakan rakan guru sekolah saya, anak anak murid yg saya masuk kelas mengajar, guru guru yg sama bilik guru dengan saya...waahhh rangkaian ini tidak akan berhabisan. Sebab contact saya sendiri mencecah ratusan org. Jujur saya cakap dengan pegawai pkd tu masa dia suruh saya ke pusat kuarantin sebagai penjaga bersama dengan anak saya, saya katakan,
"Abislah saya, pasti saya akan kena kecam lepas ni"
Pegawai pkd tu jawab, "cikgu jangan cakap mcm tu, sepatutnya semua org bersimpati.bukan mengecam.penyakit ni memang perlu dibanteras dalam masyarakat kita.supaya hidup kita semua lebih tenang lepas ni"
Saya akur dengan ujian. Malam pertama di pusat kuarantin, saya menimbang untuk berterus terang dan menceritakan situasi saya kepada kawan kawan guru wanita sekolah saya. Alhamdulillah, mereka memang sahabat yg baik, dan memahami. Mendoakan agar result anak saya negatif.dan segalanya akan dipermudahkan.
Anak saya sendiri, alhamdulillah. Seperti jangkaan saya, sihat, aktif, berselera makan seperti biasa tanpa sebarang simptom atau demam. Syukur, syukur ya Allah.
Dan, berkat doa semua rakan rakan, ibu bapa dan guru guru dari taska dia, result ketiga saida ternyata memang negatif. Dan dengan result negatif itu, kami dibenarkan pulang ke rumah dan taska juga sudah boleh beroperasi seperti biasa alhamdulillah ❤️
Banyak peringatan Allah beri pada saya dalam tempoh 4 hari dalam kuarantin bersama anak saya. Banyak muhasabah dan ibrah yang saya peroleh asbab kejadian ini. Dan yang paling penting, saya tak sudi menerima bayangan virus ini untuk menjengah atau menyapa ke pintu rumah kami lagi! Moga kita semua sama sama di dalam lindungan Allah. Terlindung dari virus yang berbahaya ini.
Comments
Post a Comment